Khamis, 27 Disember 2012

kami lalai dalam merinduimu

Ya Rasulullah, maafkan kami disaat kami tidak mampu merinduimu serindu-rindunya kerana kami terleka dalam merindui insan-insan yang kami sayangi.
maafkan kami ya habibullah kerana kurangnya selawat kami padamu sedangkan kamu tidak pernah melupakan kami sehinggakan di pengakhiran hayatmu jua kau mengingatkan keadaan dan nasib umatmu.
wahai kekasih Allah, pencinta umat yang teragung, bagaimana kami dapat menghidupkan sunnah-sunnahmu sedangkan kami sangat taksub dengan keindahan dunia yang penuh maksiat ini. maafkan kami Ya Rasulullah.. kami mengangkat insan-insan yang langsung berbeza dengan sifat mahmudah yang kau miliki dan kami jadikan mereka sebagai idola dan inspirasi kami.
bagaimana Ya Rasulullah bisa kami bertemu dengan kekasih Allah ini di akhirat kelak jika kami terus-terusan  memilih jalan hidup yang tidak diredha Allah malah bercanggah sekali dengan ajaranmu? kami mahu kembali kepada jalan yang benar Ya habibullah.. kami tidak mahu lagi merindui insan-insan yang sudah melekakan kami di dunia ini. kami mahu memperbanyakkan selawat kami padamu agar hidup kami diberkati Allah dan tenang tanpa sebarang keresahan di jiwa. Ya Rasulullah, kami tidak mahu lagi mengangkat insan-insan yang kami anggap idola itu, kami mahu kau yang menjadi idola dan contoh yang terbaik dalam hidup kami. kami sayangkan kamu, Ya Rasulullah.. kami cinta padamu Ya Habibullah..
semoga kami dapat bersama-samamu kelak wahai nabi Allah. semoga hidup kami juga diberkati seperti hidupmu ya,Rasul.. semoga dapat kami meniti arus zaman yang semakin lari dari sunnahmu dengan mempraktikkan sunnah-sunnahmu ini. Rasullullah, andainya kau bersama kami ingin sekali kami mendakapmu sekuat-kuatnya agar kami tidak terlepas dari sisimu. beruntungnya kami kerana memiliki nabi sepertimu, ya Muhammad.. berbahagialah wahai insan yang mencintai dan merinduimu, Ya Rasulullah..
~MADAD YA RASULULLAH~

Tiada ulasan: